27.11.11

MENGAPA KERA TIADA RUMAH

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah keluarga kera. Mereka tinggal di dalam hutan. Mereka tidak mempunyai rumah. Apabila malam, mereka berteduh di atas pokok-pokok kayu.
Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya. Maka kera-kera itu pun menjadi kelam kabut. Mereka berlompatan ke sana ke sini mencari tempat berteduh. Anak dan isteri kera bertanya, bilakah mereka akan memiliki rumah. Bapa kera berjanji akan membina rumah apabila hujan teduh.
Setelah hujan berhenti, kera-kera itu berlompatan riang sambil mencari makanan. Soal membuat rumah dilupakan begitu sahaja. Apabila hujan turun lagi, kera-kera tersebut sibuk mencari tempat berteduh. "Hujan turun lagi lah bang. Kalau kita ada rumah, kan senang untuk kita berteduh," kata isteri kera. "Ya lah Pak, kenapa tak buat rumah lagi?" bertanya pula si anak kera. "Ah! Nantilah. Bila hujan teduh kita akan buat rumah," balas bapak kera si kera jantan.
Namun bila hujan berhenti, segala-galanya dilupakan begitu sahaja. Janji tinggal janji, segalanya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya mereka hanya bergembira dan hanya teringat kembali bila hujan tiba. Bila hujan berhenti, segalanya akan dilupakan. Hingga hari ini tiada satu keluarga kera pun yang mempunyai rumah.

SEMUT DAN MERPATI

Pada suatu hari, seekor semut sedang minum air di tebing sungai. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air. Dia rasa tentunya akan mati lemas. Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan dan ternampak apa yang berlaku. Dengan pantas, dia memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun itu. Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat. Semut berkata, "Terima kasih, sahabatku. Saya akan menolongmu suatu hari nanti."Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung. Dia ternampak merpati itu berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anaknya ke arah burung merpati itu.Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut mengingit kaki pemburu. Dia melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi. "Terima kasih, semut," kata burung merpati itu. "Kali ini, kamu telah menolong saya."

ARNAB YANG RAJIN BEKERJA


 Terdapat seekor arnab bernama Ricky. Ricky sangat rajin bekerja. Ia menanam pelbagai jenis tanaman di kebun sayurnya. Ada tomato, lobak merah dan lain-lain lagi. Setiap hari, ia akan memulakan kerja di kebunnya pada awal pagi. Ia akan menyiram tanam-tanaman dan akan membubuh baja. Pada sebelah petang pula, ia akan mencabut rumput dan lalang. Jirannya ialah seekor panda bernama Peter. Peter amat pemalas. Setiap hari, ia menghabiskan masa dengan bermain.
Ia hanya akan pergi mencari makanan apabila ia terasa lapar. Peter berasa hairang melihat Ricky terlalu rajin bekerja. Setiap hari ia melihat Ricky hanya menghabiskan masanya di kebun. “Hai Ricky!” sapa Peter. “Mengapakah kamu terlalu rajin bekerja?” Tanya Peter lagi. “Saya mesti bekerja keras,” kata Ricky. “Sekarang cuaca amat sesuai untuk bercucuk tanam. Saya perlu simpan makanan yang mencukupi sebelum tiba musim hujan,” jawab Ricky. “Tapi, musim hujan lambat lagi,” kata Peter. “Sekarang adalah waktu untuk kita bermain dan bersuka ria,” kata Peter lagi. “Apabila hujan dah turun, tentu kita sukar dapat makanan. Kalau kita tidak menyimpan makanan dari sekarang, kita boleh mati kebuluran,” kata Ricky. “Oh, barulah saya faham kenapa kamu begitu rajin bekerja!” kata Peter. Sejak itu, Peter juga rajin bekerja untuk mengumpul makanan.

ANAK IKAN YANG SUKA MENIPU




Di sebuah lautan, terdapat seekor anak ikan yang nakal. Ia bernama Tony. Tony tidak disenangi rakan-rakanya kerana ia suka menipu dan mempermain-mainkan mereka. Ketika ikan-ikan lain sedang bermain, Tony akan menjerit, “Jerung! Jerung! Bersembunyi cepat!” Ikan-ikan itu ketakutan lalu lari dan bersembunyi di celah-celah batu. Tony akan mentertawakan rakannya itu. Ikan-ikan kecil amat takut dengan jerung. Jerung yang garang itu akan memakan mereka tanpa belas kasihan.
Sebab itulah mereka akan lari ketakutan apabila Tony menjerit, “Jerung! Jerung!” Namun Tony sungguh nakal. Ia berasa seronok dapat mempermain-mainkan rakan-rakanya. Ikan-ikan kecil itu mempercayai Tony, walaupun mereka selalu tertipu dengan helah Tony. Pada suatu hari, Tony menghampiri rakan-rakanya itu. Ia ingin mempermainkan mereka seperti biasa. Tiba-tiba muncul seekor jerung menghampiri mereka. Namun Tony tidak menyedari kehadiran jerung itu. “Jerung! Jerung!” Bersembunyi cepat!” Jerit ikan-ikan itu. Ikan-ikan itu lari lalu bersembunyi di celah-celah batu. Tony tidak menghiraukan jeritan rakan-rakanya. Ia menyangka mereka cuba mepermain-mainkanya. “Baiklah, kamu semua menang! Di sini mana ada jerung! Tak usahlah kamu semua mempermain-mainkan aku!” jerit Tony. Jerung itu berenang menghampiri Tony. Tony tidak sempat melarikan diri. Ia dimakan oleh jerung itu.

22.11.11