27.11.11

MENGAPA KERA TIADA RUMAH

Pada suatu masa dahulu, ada sebuah keluarga kera. Mereka tinggal di dalam hutan. Mereka tidak mempunyai rumah. Apabila malam, mereka berteduh di atas pokok-pokok kayu.
Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya. Maka kera-kera itu pun menjadi kelam kabut. Mereka berlompatan ke sana ke sini mencari tempat berteduh. Anak dan isteri kera bertanya, bilakah mereka akan memiliki rumah. Bapa kera berjanji akan membina rumah apabila hujan teduh.
Setelah hujan berhenti, kera-kera itu berlompatan riang sambil mencari makanan. Soal membuat rumah dilupakan begitu sahaja. Apabila hujan turun lagi, kera-kera tersebut sibuk mencari tempat berteduh. "Hujan turun lagi lah bang. Kalau kita ada rumah, kan senang untuk kita berteduh," kata isteri kera. "Ya lah Pak, kenapa tak buat rumah lagi?" bertanya pula si anak kera. "Ah! Nantilah. Bila hujan teduh kita akan buat rumah," balas bapak kera si kera jantan.
Namun bila hujan berhenti, segala-galanya dilupakan begitu sahaja. Janji tinggal janji, segalanya tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya mereka hanya bergembira dan hanya teringat kembali bila hujan tiba. Bila hujan berhenti, segalanya akan dilupakan. Hingga hari ini tiada satu keluarga kera pun yang mempunyai rumah.

No comments:

Post a Comment